Wednesday, January 21, 2009

SEPINTAS LALU....

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepadaTuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

KURIKULUM KEBANGSAAN

“... suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan”

Akta Pendidikan 1996
[Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997]

IMBASAN SEJARAH

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan

  • Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan

  • Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama

  • Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia

  • Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua


Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini

  • Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira

  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini

  • Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia

  • Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional

  • Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun

  • Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan


Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979

  • Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira

  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini

  • Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia

  • Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional

  • Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun

  • Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan


Rang Undang Undang Pendidikan 1995

  • Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara

  • Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan

  • Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun

  • Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan

  • Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan

  • Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta
HALA TUJU PENDIDIKAN

Perundangan Pendidikan
1957 - The Education Ordinance, 1957
1961 - Education Act, 1961
1963 - Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak - 1971)
1971 - Akta Universiti dan Kolej Universiti
1974 - Akta Politeknik Ungku Omar
1980 - Akta Majlis Peperiksaan Malaysia

Laporan-Laporan Penting
1956 - Report of the Education Committee, 1956 (Penyata Razak)
1960 - Report of the Education Review Committee, 1960 (Penyata Rahman Talib)
1967 - Penyata Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi
1973 - Laporan Jawatankuasa di atas Kajian Pendapat mengenai Pelajaran
dan Masyarakat (Laporan Keciciran)
1979 - Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (Penyata Mahathir)
1991 - Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Latihan

Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan
1957 - Mata pelajaran wajib sekolah rendah dan menengah
1970 - Bahasa pengantar darjah 1
1975 - Semua Sekolah Rendah Inggeris selesai ditukar menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan
1976 - Bahasa pengantar Tingkatan 1
1979 - Bahasa pengantar Tingkatan VI aliran sastera
1980 - Bahasa pengantar jurusan sastera tahun 1 di universiti
1981 - Bahasa pengantar tingkatan VI aliran sains
1982 - Bahasa pengantar semua peringkat persekolahan
1983 - Bahasa pengantar semua kursus di universiti

Peperiksaan Sekolah Rendah
1957 - MSSEE (Malayan Sec. Sch. Entrance Exam) dimulakan
1963 - MSSEE dimansuhkan
1967 - PDL (Penilaian Darjah 5) dimulakan
1973 - UDT (Ujian Darjah 3) dimulakan
1982 - UDT dimansuhkan
1988 - PDL dimansuhkan
1988 - UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dimulakan

Peperiksaan Sekolah Menengah
1957 - LCE (Lower Certificate of Education) dimulakan
1957 - OSC (Overseas Cambridge Sch Certificate) dimulakan
1957 - FMC ( Federation of Malaya Certificate) dimulakan
1957 - QT ( Qualifying Test) dimulakan
1960 - SRP (Sijil Rendah Pelajaran) dimulakan
1961 - UK (Ujian Kelayakan) dimulakan
1962 - SPPTM (Sijil Pel. Persekutuan Tanah Melayu) dimulakan
1964 - SPPTM dimansuhkan
1964 - FMC dimansuhkan
1964 - MCE (Malaysian Certificate of Education) dimulakan
1964 - SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dimulakan
1967 - SRP/LCE soalan objektif mula digunakan
1968 - OSC dimansuhkan di Semenanjung Malaysia.
1969 - SPVM (Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia) dimulakan
1976 - Peperiksaan Bahasa Melayu (Julai) dimulakan
1976 - MCE diambilalih oleh Lembaga Peperiksaan
1982 - HSC (Higher School Certificate Cambridge) dimansuhkan
1982 - STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) diambilalih oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dimulakan
1983 - LCE ujian Lisan Bahasa Melayu dimansuhkan
1983 - SRP Ujian Lisan Bahasa Inggeris dimansuhkan
1987 - Sijil SPVM ditukar kepada SPM(V)
1987 - SPM di seluruh Malaysia dimulakan
1991 - KHPP (Kemahiran Hidup Program Peralihan) SRP dimulakan
1992 - Tahun terakhir bagi SRP
1993 - PMR (Penilaian Menengah Rendah) dimulakan
1993 - SPM berdasarkan KBSM (Kurikulum Baru Sek. Menengah) dimulakan

Kurikulum
1956 - General Syllabuses and Timetable Committee ditubuhkan
1964 - General Syllabuses and Review Committee ditubuhkan
1965 - Pendidikan Komprehensif dimulakan
1967 - Report of the Committee on Curriculum Planning and Development
1973 - Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) ditubuhkan
1982 - KBSR dilaksanakan di 302 buah sekolah rendah sebagai percubaan
1983 - KBSR dilaksanakan di semua sekolah rendah
1988 - Pelaksanaan KBSR sepenuhnya dicapai
1988 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran bahasa
1989 - Pelaksanaan KBSM bermula untuk mata pelajaran lain
1989 - Kemahiran Hidup Program Peralihan dimulakan di tingkatan 1
1989 - Pelaksanaan PKBS di tahun 1 hingga tahun 6 di semua sekolah rendah
1989 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilancarkan di 100 buah sekolah rendah
1991 - Mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dilaksanakan di 1000 buah sekolah rendah
1991 - Kemahiran Hidup bersepadu dimulakan di Tingkatan 1
1992 - Mata pelajaran Kemahiran Hidup Manipulatif dilaksanakan di 3000 buah sekolah rendah
1993 - Kemahiran Hidup mula dilaksanakan di Tahun 4 di semua sekolahrendah. Sekolah yang
telah melaksanakan Kemahiran Manipulatifmeneruskannya di Tahun 5 dan 6 sekolah rendah

Peperiksaan Khas
1964 - Penubuhan Unit Pendidikan Khas
1978 - Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Komunikasi Seluruh
1981 - Jawatankuasa Antara Kementerian-Kementerian mengenai Pendidikan Khas
(Kementerian Kebajikan Masyarakat/ Kementerian Kesihatan,Kementerian Buruh
dan Tenaga Rakyat serta Kementerian Pendidikansebagai Pengerusi dan setiausaha)
1984 - Jawatankuasa Pendaftaran dan Penempatan Kanak-kanak cacat antara Kementerian-Kementerian.
1984 - Penubuhan Jawatankuasa Penempatan Kanak-Kanak Negeri
1984 - Jawatankuasa Kebangsaan Kurikulum Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional
Shah Alam ditubuhkan
1985 - Penubuhan Unit Perintis Penerbitan dan Percetakan Braille Kementerian Pelajaran Malaysia
1985 - Penubuhan Mesyuarat Majlis Perkhidmatan Kebajikan Negara
1985 - Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Komunikasi Seluruh Kementerian Pendidikan
1987 - Penubuhan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Shah Alam
1987 - Jawatankuasa Pelaksana Pendidikan Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran
1988 - Arahan Y.B.Menteri Pendidikan mengkaji memberi bantuan penuh kepada Kanak-kanak
dengan Perlakuan Autisme Ringan
1989 - Majlis Perundingan Pembangunan Masyarakat Negara
1991 - Lembaga Penasihat Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-kanak dengan keperluan-keperluan
Pendidikan Khas
1993 - Jawatankuasa mengkaji Dasar, Perancangan, Penyelarasan danPelaksanaan Pendidikan
bagi kanak-kanak dengan keperluan-keperluanPendidikan Khas.

TAHUN 2008 TAHUN HISTERIA

Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Lumpur (SMKTL) telah digemparkan dengan kejadian histeria yang menyerang beberapa orang pelajar yang bermula pada awal Mei tahun lalu. Kejadian ini berlarutan sehingga akhir tahun 2008 sehingga mendapat liputan meluas di media massa, media cetak dan elektronik. Kejadian ini telah membuka mata warga Malaysia bahawa kes histeria bukan hanya berlaku di SMKTL saja, malahan turut melanda beberapa sekolah di negeri lain. Ekoran daripada aktiviti pembinaan blok bangunan sekolah yang baru telah menjadikan kes histeria ini menjadi parah. Saban hari, pelbagai berita terpampang di dada-dada akhbar yang menyaksikan pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak pengurusan SMKTL bagi memulihkan keadaan. Namun sebarang usaha termasuklah melakukan solat hajat, membaca surah yaasin tidak membuat hasil dan tidak dapat menguraikan kekusutan yang dialami. Dalam langkah pencegahan itu, setiap pelajar yang mengalami histeria dikuarantinkan dan tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan sehingga kes ini benar-benar dapat diselesaikan. Berikutan daripada kes ini, ia juga mendapat liputan dari TV3 sehingga disiarkan di rancangan Tv: 999 oleh wartawan, Mazidul Sidek dan akhbar-akhbar tempatan. Berikut adalah cebisan artikel yang dipetik berkaitan kes ini.

Pelajar histeria setiap tengah hari sejak Mei

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUANTAN 24 Julai – Sebuah sekolah menengah di sini diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Lebih memburukkan keadaan, pada waktu rehat segelintir pelajar perempuan dikatakan mengalami sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua yang uzur dan kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Khuatir proses pengajaran dan pembelajaran semakin terganggu, pelbagai usaha dilakukan oleh pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur termasuk memanggil pengamal perubatan tradisional selain mengadakan sesi perjumpaan bersama ibu bapa pelajar terbabit di sekolah itu hari ini.

Ibu bapa yang ditemui selepas sesi perjumpaan itu bimbang dengan kejadian misteri tersebut dan meminta pihak bertanggungjawab segera mencari jalan mengatasi masalah berkenaan demi masa depan anak-anak mereka.

Aziz Basri, 56, bapa kepada salah seorang pelajar yang kerap terkena histeria berkata, kejadian misteri itu dikhuatiri mendatangkan risiko terhadap kesihatan pelajar selain mengganggu pembelajaran kerana ada di kalangan pelajar kerap mengambil cuti akibat kejadian itu.

Pegawai syarikat swasta itu berkata, kejadian tersebut dipercayai mula berlaku pada hujung Mei lalu dan kali terakhir kejadian berkenaan menimpa anak perempuannya semalam.

‘‘Kejadian itu berlaku berulang-kali dan setiap kali ia menimpa anak saya berusia 14 tahun, dia akan kelihatan murung dan kami risau ia menjejaskan pelajarannya,” katanya ditemui di sekolah tersebut.

Idrus Sulong, 39, pula berkata, anak perempuannya yang juga berusia 14 tahun mengalami kejadian yang sama baru-baru ini menyebabkan dia dan ibu bapa lain diminta hadir ke sekolah bagi mengadakan perbincangan bersama hari ini.

‘‘Saya dapat tahu hari ini sahaja kira-kira tiga murid perempuan mengalami kejadian misteri itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Huzair Awang Bidin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut sambil mendakwa peristiwa misteri itu telah lama berlarutan.

Menurutnya, setiap hari antara empat atau lima murid akan diserang kejadian misteri itu walaupun pelbagai usaha seperti membaca surah Yasin dan sembahyang hajat diadakan di sekolah berkenaan.

Pengetua sekolah berkenaan bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan kepada pemberita selain mengarahkan pengawal keselamatan menghalang pemberita dan jurugambar memasuki pekarangan sekolah bagi membuat liputan.

Pertemuan Jabatan Pelajaran-PIBG cari penyelesaian kes histeria

Salah seorang pelajar lelaki yang keletihan akibat diserang histeria dipapah ke surau Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam. – Gambar MAHATHIR ALI


KUANTAN 25 Julai – Jabatan Pelajaran Negeri Pahang akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur di sini Isnin ini dalam usaha mencari penyelesaian berhubung kejadian misteri yang berlaku di sekolah itu sejak Mei lalu.

Pada masa sama, Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff turut mengalu-alukan mana-mana pihak terutama pengamal perubatan tradisional yang mampu menyelesaikan masalah tersebut agar segera menghubungi sekolah terbabit untuk menghulurkan bantuan.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan pihak ibu bapa dan sekolah memandangkan pelajar tingkatan tiga akan mula menghadapi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.

“Kita akan bekerjasama dengan PIBG dan penduduk setempat untuk mencari kaedah yang dapat membantu menyelesaikan kejadian yang kita anggap misteri ini.

“Tidak lama lagi PMR, kita juga akan memikirkan sama ada perlu menempatkan sementara pelajar yang akan mengambil peperiksaan di sekolah ini atau di tempat lain supaya mereka tidak terganggu sepanjang tempoh itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya hari ini menyiarkan kisah sebuah sekolah menengah di sini yang diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Lebih memburukkan keadaan, pada waktu rehat, segelintir pelajar perempuan dikatakan mengalami sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua yang uzur. Kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan bagi menangani masalah yang berlaku sebaik sahaja menerima laporan daripada pihak sekolah.

Malah, katanya, pihak sekolah sebelum ini telah melakukan pelbagai ikhtiar untuk memulihkan keadaan termasuk mengadakan solat hajat yang turut dihadiri oleh beliau sendiri.

Bagaimanapun, jelas Abdul Aziz, usaha-usaha yang dilakukan termasuk menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional gagal meninggalkan kesan yang diharapkan.

“Masalah yang dikatakan sebagai histeria ini hanya membabitkan pelajar dan guru perempuan. Ia berlaku tidak kira masa, kadang-kadang pagi dan kadang-kadang tengah hari.

“Setakat ini, dua guru perempuan dilaporkan mengalami gangguan yang sama dan kita telah mengambil beberapa tindakan untuk memulihkan keadaan,” ujarnya.

Guru-guru terbabit, katanya, berjaya dipulihkan dan telah kembali bertugas seperti biasa.

Ditanya apa yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku, Abdul Aziz memberitahu, ia mungkin ada kaitan dengan projek pembinaan bangunan tambahan sekolah berkenaan.

Bomoh diguna 'bersih' sekolah

Oleh YUSRI SAHAT

KUANTAN 27 Julai - Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini akan menggunakan khidmat seorang pengamal perubatan tradisional terkenal di Pahang bagi memulihkan semula semangat pelajar sekolah itu yang diserang histeria sejak Mei lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat (gambar) berkata, pengamal perubatan tradisional yang berasal dari Kuala Lipis itu akan menjalankan upacara 'pembersihan' di sekolah itu esok.

Menurut beliau, pengamal perubatan tersebut telah menyatakan persetujuannya untuk menjalankan upacara tersebut selepas laporan mengenai kes histeria di sekolah terbabit disiarkan di akhbar kelmarin.

''Ini merupakan salah satu ikhtiar kita untuk memulihkan semula SMK Tanjung Lumpur daripada terus diganggu makhluk halus," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan SMK Tanjung Lumpur diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan mengalami sakit-sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok- bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Berikutan itu, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang akan memindahkan kesemua 820 pelajar sekolah itu ke sekolah lain jika keadaan terus meruncing.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, keputusan memindahkan pelajar terbabit akan ditentukan pada mesyuarat dengan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Kesihatan, polis dan penduduk setempat esok.

Wan Adnan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, pengamal perubatan tradisional tersebut dikatakan berjaya menangani masalah yang sama di sebuah sekolah di Kuala Lipis tahun lalu.

Setakat ini, tambah beliau, pentadbiran SMK Tanjung Lumpur telah menggunakan khidmat enam pengamal perubatan tradisional tetapi semuanya tidak berhasil.

''Kita berharap dengan kepakaran pengamal perubatan tradisional dari Kuala Lipis ini, masalah yang membelenggu pelajar dan guru sekolah itu dapat diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihak sekolah terbabit juga meminta bantuan tokoh agama terkenal, Datuk Dr. Haron Din untuk menghalau makhluk halus yang dikatakan mengganggu sebilangan pelajar dan gurunya.

Bagaimanapun, jelasnya, tokoh agama itu kini masih berada di Mekah dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan lagi.

''Jika masalah di sekolah itu masih belum dapat diatasi dalam tempoh tersebut, beliau berjanji akan berusaha untuk memulihkan semula keadaan," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Adnan memberitahu, beliau difahamkan kejadian histeria itu berlaku sejak projek bangunan tambahan di belakang sekolah tersebut dilaksanakan.

Ditanya sama ada projek itu akan dihenti dan dipindahkan ke lokasi lain, jelas beliau: ''Perkara itu sukar untuk dilaksanakan dan kita akan menggunakan pendekatan lain dulu untuk mengatasi masalah ini."

Pelajar histeria dipindah ke sekolah lain

28/07/2008 7:06pm

KUANTAN 28 Julai — Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur yang mengalami histeria baru-baru ini akan dipindahkan ke sekolah berdekatan iaitu SMK Sungai Soi dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran dengan selesa.

Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, kesemua pelajar terbabit akan dipindahkan dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

“Tujuan kita (pindahkan pelajar) adalah supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran masing-masing, “ katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sejak beberapa hari lepas, beberapa pelajar di sekolah berkenaan dikatakan mengalami histeria dengan mangsa mendakwa mereka diganggu makhluk halus dan diganggu “Nenek Kebayan”.

“Sama ada pemindahan tersebut dibuat untuk tempoh sementara waktu atau seterusnya akan diputuskan kemudian kerana yang paling mustahak adalah soal pelajaran yang perlu mereka ikuti,” kata Abdul Aziz.

Selain langkah pemindahan pelajar itu, katanya, Jabatan Pelajaran Pahang juga akan meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menghentikan sementara projek pembinaan blok baru di sekolah terbabit sehingga keadaan kembali normal.

Menurut laporan sebelum ini, pembinaan blok baru sejak beberapa bulan lepas itu dikatakan antara punca mulanya berlakunya kejadian histeria yang membabitkan pelajar perempuan di sekolah terbabit.

“Semua keputusan yang dibuat ini adalah hasil daripada Mesyuarat Pemuafakatan yang diadakan di sekolah itu yang melibatkan pihak sekolah dengan JKR, Jabatan Kesihatan, polis, Ketua Kampung dan penduduk setempat pada hari ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata, program kerohanian seperti solat hajat dan bacaan surah Yasin yang diadakan selama tiga hari bermula malam tadi di sekolah berkenaan juga akan dilakukan secara berterusan. - Bernama

Histeria: SMK Tanjung Lumpur kembali ‘aman’

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUANTAN 31 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan (SKM) Tanjung Lumpur di sini yang dilanda kejadian misteri sejak Mei lalu, hari ini dilaporkan tenang tanpa seorang pelajar pun diserang histeria sejak semalam.

Dengan perkembangan terbaru itu, para pelajar, sekolah yang telah berusia 25 tahun tersebut dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa tanpa gangguan.

Tinjauan Utusan Malaysia di SMK Tanjung Lumpur hari ini mendapati, kesemua pelajar dan guru sekolah tersebut kembali ceria manakala suasana proses pembelajaran serta aktiviti kokurikulum berjalan seperti sediakala berbanding tempoh empat bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, projek pembinaan bangunan tambahan di belakang sekolah itu yang dikaitkan dengan ‘gangguan’ tersebut masih ditangguhkan.

Pengetua sekolah berkenaan, Abdul Khalil Sham berkata, pihaknya yakin keadaan di sekolah tersebut kembali normal berikutan pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan semangat pelajarnya.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan perhatian yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan, polis, ketua kampung dan ibu bapa yang sangat mengambil berat terhadap apa yang berlaku di sekolah tersebut.

“Kami bersyukur kerana sejak pukul 7.45 pagi hingga waktu persekolahan berakhir pada pukul 2 petang ini, sesi persekolahan di SMK Tanjung Lumpur berjalan lancar sejak semalam.

“Selepas beberapa bulan berlaku, hari ini dan semalam merupakan hari yang paling aman buat pelajar dan guru di sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan SMK Tanjung Lumpur diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan mengalami sakit-sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Sehubungan itu, satu mesyuarat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa pelajar, PPD, Jabatan Kesihatan, ketua kampung dan polis diadakan di sekolah itu Isnin lalu bagi mencari jalan penyelesaian.

Sementara itu, pelajar sekolah berkenaan, Nurul Syafiqah Che Mansor, 17, berkata, dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sekolah tersebut mengatasi gangguan yang berlaku sejak empat bulan lalu.

Dia yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini berkata, kini dia dapat belajar dengan aman dan memberi tumpuan semula terhadap pelajaran.

Rakannya, Rodiah Mamat, 17, pula mengaku merasa takut dengan keadaan yang berlaku di sekolah itu kerana mendakwa pernah mengalami beberapa peristiwa aneh sebelum ini.

“Setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk majlis membaca Yasin, sembahyang hajat, menggunakan khidmat pengamal-pengamal perubatan tradisional, sekolah kami pulih dan keadaan kembali normal,” jelasnya.

Dalam pada itu, malam tadi, satu majlis solat hajat diadakan di SMK Tanjung Lumpur yang disertai 250 jemaah termasuk 40 penuntut tahfiz Yayasan Pahang.

Histeria: Upacara 'pembersihan' di SMK Tanjung Lumpur

Sahabudin Sham Sudin menunjukkan van yang digunakan untuk membawa keluar 'anasir' dari SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang, semalam.


KUANTAN 1 Ogos - Upacara 'pembersihan' bagi mengakhiri serangan histeria yang mengganggu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini dipercayai berjaya dilakukan oleh seorang pengamal perubatan tradisional di sekolah itu hari ini.

Upacara bermula kira-kira pukul 10 pagi itu turut melibatkan penggunaan sebuah van jenis Kia Pregio berwarna putih bertujuan memindahkan 'anasir-anasir' yang dikatakan mengganggu sekolah berkenaan ke kawasan lain.

Bagaimanapun, harapan para wartawan serta jurugambar yang berada di hadapan SMK Tanjung Lumpur seawal pukul 9 pagi untuk membuat liputan tidak kesampaian apabila upacara 'pemindahan' itu dilakukan secara bersembunyi atas arahan pihak-pihak tertentu.

Orang ramai yang berada di situ turut kecewa apabila upacara yang dijangka berlangsung di hadapan sekolah berkenaan dengan menggunakan sebuah bas ditukar pada saat akhir setelah pihak terbabit dikatakan menyedari kehadiran mereka.

Pengamal perubatan tradisional yang terlibat dalam upacara itu, Sahabudin Sham Sudin, 50, ketika ditemui mendakwa, upacara 'pembersihan; itu terpaksa dilakukan dengan menggunakan sebuah van selepas pemandu bas yang sebelum ini dijadualkan terlibat dalam upacara itu, takut berbuat demikian.

''Anasir itu terdiri daripada 14 'dewasa' dan tujuh 'kanak-kanak' yang kesemuanya beragama Islam malah al-Quran serta zikir juga merupakan amalan mereka.

''Ada di kalangan 'mereka' sudah tua, ada yang masih muda, terdapat lelaki dan perempuan serta kanak-kanak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Indera Mahkota 2 di sini hari ini.

Kejadian misteri di SMK Tanjung Lumpur menarik perhatian media dan orang ramai apabila Utusan Malaysia pada 25 Mei lalu melaporkan sebilangan pelajar sekolah berkenaan diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Sahabudin berkata, kesemua 'anasir' itu dipindahkan ke satu lokasi yang terpaksa dirahsiakan kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuantan.

''Makhluk Allah itu sebenarnya marah kerana kawasan mereka yang terletak tidak jauh daripada sekolah itu menjadi tempat maksiat," tegasnya.

Beliau mendakwa, anasir itu terpaksa menggunakan pelajar-pelajar sekolah berkenaan sebagai saluran untuk menyampaikan hasrat bagi mendapatkan penempatan di tempat lain.

Menceritakan detik 'pemindahan', beliau yang sudah beberapa kali mengendalikan kejadian sama di beberapa negeri memberitahu, van yang membawa anasir itu menjadi berat dan terpaksa dipandu perlahan-lahan.

Sementara itu, Pengetua SMK Tanjung Lumpur, Abdul Khalil Sham ketika ditemui enggan mengulas berhubung upacara tersebut.

Histeria di SMK Tanjung Lumpur berulang

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUANTAN 4 Ogos - Kejadian histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur yang disangka telah berakhir sejak lima hari lalu, kembali menghantui guru serta pelajar sekolah tersebut apabila beberapa pelajarnya dilaporkan mengalami semula histeria hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 10.15 pagi hingga 12.10 tengah hari itu, sekurang-kurangnya tiga pelajar perempuan sekolah berkenaan menjerit-jerit serta meracau secara tiba-tiba.

Tinjauan pemberita di SMK Tanjung Lumpur mendapati, beberapa pelajar perempuan termasuk seorang pelajar tingkatan dua dipercayai menjadi mangsa terbaru kejadian misteri itu dengan menunjukkan kelakuan aneh.

Para wartawan dan jurugambar bagaimanapun tidak dibenarkan membuat liputan di dalam kawasan sekolah kerana dikhuatiri kedatangan mereka akan menganggu tumpuan pelajar lain yang sedang belajar.

Menurut satu sumber, salah seorang mangsa yang terpaksa dipapah oleh guru meronta-ronta dan berjalan terhoyong-hayang ke belakang bangunan sekolah sebelum rebah di atas lantai simen.

"Lebih membimbangkan, mangsa menjerit-jerit seperti kena rasuk dan apabila sedar pelajar itu mengadu sakit di bahu kanan dan kembali mengamuk beberapa minit kemudian.

"Pemeriksaan mendapati memang ada kesan lebam seperti kesan gigitan pada bahu mangsa," katanya sumber itu ketika ditemui di sini hari ini.

Kejadian misteri di SMK Tanjung Lumpur menarik perhatian media dan orang ramai apabila Utusan Malaysia pada 25 Mei lalu melaporkan sebilangan pelajar sekolah berkenaan diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, sekolah itu dilaporkan kembali tenang tanpa seorang pelajar pun diserang histeria sejak semalam berikutan pelbagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan semangat pelajar sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, sumber itu memberitahu, ketiga-tiga mangsa baru serangan histeria itu berkelakuan lebih agresif berbanding pelajar yang mengalaminya sebelum ini dengan cuba memanjat pagar sekolah serta bertutur dengan nada keras.

Sementara itu, pengamal perubatan tradisional, Shahabudin Sham Sudin, 50, yang sebelum ini mendakwa telah melakukan upacara "pembersihan" di sekolah berkenaan pada Jumaat lalu bagaimanapun mendakwa, kejadian itu berulang kerana terdapat anasir jahat lain yang cuba menganggu pelajar sekolah berkenaan.

"Saya sudah memindahkan anasir yang menganggu pelajar SMK Tanjung Lumpur pada Jumaat lalu, bagaimanapun kejadian hari ini ekoran perbuatan anasir jahat yang lain," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latiff bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengesahkan kejadian misteri yang berulang itu manakala pengetua sekolah berkenaan, Abdul Khalil Sham enggan mengulas ketika ditemui pemberita.

Perpindahan 35 pelajar histeria disegerakan

KUANTAN 5 Ogos - Jabatan Pelajaran Pahang akan menyegerakan proses memindahkan 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur yang mengalami histeria, ke sekolah lain sebagai usaha menamatkan kejadian misteri yang berlaku di sekolah berkenaan sejak empat bulan lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas diadakan bersama ibu bapa para pelajar, pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan di sekolah berkenaan pagi ini.

''Keputusan untuk menukar pelajar ke sekolah lain bukan keputusan jabatan semata-mata, tetapi ia meliputi budi bicara ibu bapa pelajar terlibat.

''Jabatan tidak memaksa sekiranya ibu bapa tidak mahu anak mereka dipindahkan.

''Bagaimanapun, kami akan cuba memujuk ibu bapa pelajar terbabit supaya bersetuju anak mereka ditukar ke mana-mana sekolah yang mereka inginkan, malah pihak PPD Kuantan sedia membantu untuk tujuan tersebut,'' katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kejadian histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur yang disangka telah berakhir sejak lima hari lalu, kembali menghantui guru serta pelajar sekolah tersebut apabila beberapa pelajarnya dilaporkan mengalami semula histeria semalam.

Jumaat lalu, sekolah itu dilaporkan kembali tenang tanpa seorang pelajar pun diserang histeria sejak semalam.

Ini berikutan pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan semangat para pelajar sekolah berkenaan termasuk menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional.

Terdahulu, dalam satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan pada 28 Julai lalu, ramai pihak bersetuju untuk memindahkan 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur yang mengalami histeria ke sekolah lain sekiranya keadaan masih tidak berubah.

Kejadian misteri di SMK Tanjung Lumpur menarik perhatian media dan orang ramai apabila Utusan Malaysia pada 25 Mei lalu melaporkan sebilangan pelajar sekolah berkenaan diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, sebanyak 12 pelajar dilaporkan mengalami histeria antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam, bagaimanapun tiada pelajar mengalami kejadian itu hari ini.

Menurutnya, jabatan dan pihak sekolah akan terus mengadakan majlis kerohanian seperti solat hajat, tahlil serta bacaan surah Yasin dalam usaha menamatkan kejadian misteri yang menimpa pelajar serta guru SMK Tanjung Lumpur.

Tambahnya, keadaan 12 pelajar yang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum ini beransur pulih dan pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak hospital




SEKILAS PANDANG: SMK TANJONG LUMPUR

Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Lumpur (SMKTL) merupakan sebuah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan yang telah dibangunkan pada tahun 1983 dan terdapat kira-kira 820 orang pelajar yang antaranya terdiri daripada penduduk kampung setempat seperti Kg. Tanjong Lumpur, Kg. Anak Air, Kg. Sg. Dheraka, Kg. Kempadang, Kg. Peramu dan sebahagiannya dari Kg. Sg. Soi dan Kg. Cempaka. Dulunya, SMKTL hanya mempunyai 3 blok bangunan yang menempatkan pejabat, bilik guru, bilik pusat sumber dan kelas-kelas bagi pelajar dari Tingkatan 1 sehingga ke Tingkatan 5. Dengan peredaran masa yang begitu pantas, SMKTL mula membangun dan berkembang dengan terbinanya beberapa blok Kediaman Guru di sebelahnya dan penambahan blok bangunan sekolah yang sekarang ini menempatkan para pelajar dan makmal sains tulen.